DATUK SALLEH MAJID DALAM KENANGAN…. (oleh : Mardzuki Abdullah)
Panggilan telefon lewat pagi Isnin lepas, 2 Januari 2012 telah dijangka. Hanya setengah jam sebelum itu aku telah bertanya khabar dari sepupu ku mengenai keadaan sahabat kami yang terlantar di hospital dan dari ceritanya aku telah menjangka sahabat kami itu adalah dalam nazak. Betul, dia telah menghembus nafas terakhirnya lebih kurang 10 minit yang lalu. Inna lillahi wainna ilaihi rojiun!
“Tolong beritahu saudara-saudara kita Malik dah tak ada” kata sepupu ku ringkas. Aku segera SMS kepada rakan-rakan ku “ Datuk Salleh Majid telah kembali kerahmatullah pagi ini dHKL dan jenazahnya akan dibawa kerumah ibunya di Hulu Klang. Urusan lanjut akan diberitahu.” Selepas itu banyak panggilan telefon yang aku terima bagi mengesahkan berita kematian “Wak”.
Sebenarnya aku dan sepupu ku adah antara rakan yang terakhir dapat bercakap dengan arwah tiga malam sebelum itu., walaupun perkataan nya sukar difahami. Yang jelas semasa kami mohon izin pulang lebih kurang jam 11 malam, arwah menitis air mata seolah-olah memberi isyarat kepada kami itulah perjumpaan yang terakhir. Tangan kami dipegang nya erat, mukanya dialih seperti merajuk. Kami sayu dibuatnya tapi peristiwa itu adalah tanda persahabatan kami untuk ingatan abadi!.
Itulah tiga nama bagi sahabat kami itu. Sepupu ku adalah kawan sepermainan arwah dari kecil dan lebih mesra memanggilnya Malik, nama timangan keluarga nya. Aku lebih senang memanggil nya Wak kerana nama itu senang dicam olih rakan-rakan kami di Maktab MARA. Pada kami sekelian nama Datuk Salleh Majid adalah satu kebanggaan bagi “Maracong” pengenalan bagi kami penuntut-penuntut Maktab MARA diketika itu. Datuk Salleh Majid adalah contoh Maracong yang berjaya. Walaupun berjaya arwah tidak pernah lupa kawan-kawan nya yang dahulu. Macam mana sibok sekali pun kenduri kahwin anak-anak Maracong pasti dihadirinya.Malah kenduri-kenduri tahlil arwah dikampongnya di Hulu Klang juga mendapat tempat dalam jadual hariannya. Inilah peribadi seorang anak kampong yang tidak lupa daratan!.
Sebagai ukuran kejayaan seseorang, kekayaan wang ringgit dan harta benda tidak dapat dipisahkan, apa lagi jika seseorang itu adalah seorang ahli ekonomi terkenal, bekas ahli koperat yang berjaya. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa arwah seperti orang biasa yang lain melalui liku-liku hidup adakala mewah adakala dalam kesempitan.Semasa mewah, dia tidak lupa menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Tetapi siapa yang menjangka dia juga melalui keadaan kesempitan kewangan sehingga biasa meminjam dari rakan-rakan karib yang boleh merahsia keadaan dan dipercayai nya. Dari situ kita boleh tafsir perjalanan hidup beliau dari segi integritinya. Sunggoh mulia sahabat ku ini!.
Kita hanya dapat berdoa semoga roh beliau ditempatkan bersama para solihin. Allah lebih mengetahui diatas segala kebaikan hamba-hamba Nya. Al-fatihah….
(Penulis adalah Maracong 66/69, dan bekas Presiden MAICSA)


There are 2 comments. Add yours